Monday, October 25, 2010

Bersekolah Menengah

Aku bersekolah menengah di Sekolah Menengah Dato' Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah. Walaupun hati membuak-buak ingin bersekolah agama pondok iaitu Sekolah Menengah Agama Al-Ahmadiah di Padang Nyior, Padang Terap. Aku ingin bersekolah agama pondok kerana semua kawan-kawan kampong bersekolah di sekolah agama padang Nyior atau lebih dikenali sekolah pak Pondok Pak Teh Mat.  namun bapaku inginkanaku bersekolah menengah di Kuala Nerang, katanya mengaji sekolah pondok tak gi kemana. ilmu agama boleh dicari dan mengaji sekolah agama pun tak semestinya alim.

Jadi aku menurut saja kata bapaku yang menghantar aku ke sekolah Menengah Dato Syed Ahmad(SMDSA).  Aku dimasukkan ke dalam kelas 1A1 iaitu kelas Seni Perusahaan kelas yang tak berapa pandai kerana keputusan peperiksaan darjah lima aku sekadar 3A 2C sahaja.  Guru tingkatan aku pada masa tu Cikgu Ahmad Jamili iaitu orang Kuala nerang duduk depan Loji air Bukit Gedong.  Cikgu jamili aku kenang sampai sekarang sebagai cikgu yang amat garang dan tegas. kami selalu dipukul dengan rotan, sikat rambut, atau gelang getah jika tidak dapat menjawab soalan yang ditanya mengenai bahasa melayu kerana beliau guru bahasa melayu.

Terdapat juga kawan-kawan aku yang menangis apabila dirotan. Disebabkan tinggal dalam kelas yang tak berapa pandai terdapat juga kawan-kawan aku yang tidak boleh menulis dan membaca.  

Wednesday, September 1, 2010

Kisah Cikgu Sekolah 3 - Ustaz Hamid

Sehingga kini aku amat bersyukur dan berterima kasih kepada Ustaz Hamid kerana mengajar kami tentang pendidikan islam.  Kami diajar tentang sembahyang 5 waktu dan surah-surah Al-Quran.  Ustaz mengajar kami dengan sabar walaupun ramai diantara kami tak tahu sembahyang tiada asas dari rumah.  aku masih ingat ustaz akan merotan kami jika kami tidak boleh sembahyang.
.
Beliau akan memerhatikan kami ketika amali sembahyang disurau usang di sekolah kebangsaan pedu.  Sampai kini aku mengingati Ustaz Hamid kerana mengajar aku sembahyang dan menjadi seorang Islam yang baik.  Ustaz Hamid mengajar agama kelas aku sampai darjah 6.  Apabila aku ke sekolah menengah aku tinggal di asrama bersama anaknya iaitu Mohd Syakir dan menjadi kawan baik.  Aku sering menceritakan kepada syakir ayahnya ketika mengajar agama kepada aku.  Biarpun tegas namun sentiasa diingati kerana mendidik agama kepadaku dengan penuh dedikasi. terima kasih ustaz jasamu tetap dikenang.

Tuesday, August 31, 2010

Kisah Cikgu Sekolah 2

Cikgu Aziz - seorang guru yang baik hati dan dedikasi. kerana beliaulah aku kenal dunia luar selain kampung aku.  bagi anak-anak pedalaman keluar dari kampung adalah satu nikmat yang tak terhingga.  keluar ke pekan yang paling hampir iaitu pekan Kuala Nerang merupakan satu keseronokan yang tak terhingga. Apatah lagi Alor Setar.  Sebab itu Saterawan ulung negara Prof, Emeratus Shahnon Ahmad telah menerbitkan cerpen dalam buku Debu Merah menceritakan tentang kisah anak kampung Banggol Dedap yang pergi melawat di bandar Alor Setar.  Memang real tulisannya dan itulah realistiknya kehidupan anak kampung di pedalaman.

Kisah cikgu Aziz yang suka membuat lawatan atau rombongan sekolah sangat-sangat memberi nostalgia kepada aku,  Rombongan terawal yang aku ikuti ialah ketika darjah 3 iaitu rombongan ke bandar Alor Setar. Di Alor Setar kami dibawa melawat muzium negeri, taman bunga, dan sekitar bandar Alor Setar termasuk pasaraya yang ada pada masa tu iaitu Kedah Shoping Supermarket dan Hankyu Jaya. Kedah Shoping masih ada sampai sekarang tapi hankyu jaya dah tiada.

Kami juga dibawa di Kuala kedah dan jeti pendaratan ikan. itulah kali pertama kami melihat laut dari jarak dekat. banyak perkampungan di atas laut di Kuala Kedah. Setelah melawat Kuala Kedah kami pun pulang ke pedu pada sebelah malam. banyak pengalaman menarik sepanjang melawat bandar Alor Setar dan Kuala kedah.

Sunday, August 29, 2010

Kisah Cikgu Sekolah

Cikgu oh Cikgu. kerana jasa dan pengorbananmu aku ada pada tahap ini. bukan senang mengajar anak-anak dipedalaman.  bau hamis haring dengan rambut kusut baju tak basuh menjadi lumrah anak kampung di pedalaman.  Namun cikgu tetap gagahi jua memberi ilmu tidak pernah jemu demi ingin melihat anank didik keluar dari kepompong kemiskinan yang bermaharajalela. terimah kasih cikgu

Aku sentiasa bersyukur dan berdoa buat guru-guru yang pernah mendidik aku di sekolah rendah semoga berada dalam perlindungan Allah SWT.  Tanpa mereka mungkin aku tidak mengenal huruf seperti ibuku. Aku tidak dapat memijat kaki di menara gading dan tidak menjadi pendidik seperti sekarang. jadi aku sentiasa terkenangkan guru-guru yang mengajar aku di sekolah kebangsaan pedu.

Cikgu Azizah Bt. Din - Antara cikgu yang paling aku ingat kerana cikgu Azizah merupakan guru yang amat penyayang dan baik hati.  Beliau mengajar aku Bahasa Malaysia dengan tekun sehingga aku mengenali huruf A,B,C dan pandai menyambungkan huruf-huruf menjadi perkataan.  beliau juga merupakan guru kelas aku dari darjah 1 hingga darjah 3 mengajar dengan penuh dedikasi.  ramai waris pelajar yang dia kenal dan ibu aku sering membawa buah tangan untuk diberikan kepada cikgu Azizah.  Seingat aku, cikgu Azizah tidak pernah memarahi kami apatah lagi menengking kami. beliau seorang yang sabar dan tabah.

Masih aku ingat setiap pagi kami sentiasa menunggu kedatangan cikgu Azizah ke Sekolah dan akan berebut-rebut membawa beg dan buku beliau.  Jika dapat membawa beg atau buku cikgu Azizah adalah satu kepuasan bagi kami.  sampaikan beliau membuat giliran kerana kami sering berebut-rebut.  hampir setiap tahun Cikgu Azizah akan bercuti selama 2 bulan. cuti bersalin kerana melahirkan anak. mungkin sekarang anak-anak beliau dah besar.  Setiap kali beliau bercuti kami rasa sedih kerana tidak dapat bertemu dengan beliau.

Namun berita sedih yang aku terima semasa menulis blog ini dari kawan sekampung Ustaz Muhamad Mahi mengatakan Cikgu azizah sudah kembali ke Rahmatullah baru-baru ini.   Semoga rohnya ditempatkan disisi orang-orang beriman.  hajat aku untuk bertemu beliau tidak kesampaian.  Namun segala jasa dan pengorbanan beliau akan ku kenang sehingga akhir zaman.  Tiada guru sebaik beliau yang aku temui ibarat ibu kami ketika di sekolah.

Kisah kawan-Kawan Kampung

Dalam meniti kehidupan ini kita sentiasa kenang zaman budak-budak.  Kita tak ada masalah besar yang hendak difikirkan. bertengkar, berkelahi berbaik semula adalah lumrah dalam kehidupan budak-budak.  Aku mempunyai ramai kawan-kawan di kampung yang sebaya dengan aku atau lebih senior sedikit dari aku. namun kawan yang paling baik dengan aku ialah kakak aku sendiri iaitu sakina zahari. Kemana sahaja kami sentiasa pergi berdua. namun kawan-kawan baik yang lain ialah sepupu aku mohd pozi, asri, jiran aku fuad, wahid, mahi, kobeng, khairi, nizam, pak man, neban, zul atau zun, selan, tolib, sidek dan lain-lain lagi.

kisah anak-anak siam

Terdapat sebuah perkampungan orang-orang siam berjiran dengan kampung kami. terdapat lebih 50 buah rumah keluarga berketurunan siam. kampung kami merupakan laulan utama masyarakat siam ke bandar dan berhubung dengan luar. Kebanyakan anak-anak keturunan siam bersekolah di sekolah kami.  

Peristiwa yang tak dapat dilupakan ialah kami sering bergaduh dengan budak-budak siam ketika pulang dari sekolah.  Hampir setiap hari kami akan bergaduh di simpang tiga kampung kami. bukan ada apa-apa punca tapi kami sering bergaduh dan habis baju sekolah kami kotor.  ada kalanya kami menang dan ada kalanya kami kalah.  namun lama kelamaan kami pun dah meningkat dewasa kami pun tak bergaduh lagi malahan kami menjadi rakan baik hingga sekarang.  Antara rakan-rakan keturunan siam yang menjadi kawan baik aku hingga kini ialah Din Chuai, E wilai, Ah Tian, Niik, Chuak Loi (Nama islam Mohd Shafiq) dan lain-lain lagi.

Namun budak-budak siam belajar setakat darjah 6 sahaja dan ada antara mereka sampai darjah 5 sahaja. Selepas habis sekolah rendah mereka akan bekerja kampung sebagai penternak lembu atau kerbau. Ada antara mereka dihantar ke kedai pomen cina di pekan.  Ada 2 atau 3 orang sahaja anak-anak siam yang sambung belajar di sekolah menengah dan tinggal di asrama. Anak-anak siam yang menyambung pelajaran ke sekolah menengah semuanya berjaya seperti NIIK jadi cikgu, Chuak Loi jadi cikgu, Din Chuai jadi Mekanik Enjin.  namun yang lain-lain juga tidak kurang hebatnya dan kebanyakan mereka ada bengkel sendiri samada bengkel membaiki kereta atau bengkel motosikal. malah mereka lebih kaya dari aku.  Moralnya disini tak payah belajar tinggi-tinggi tapi jika kuat berusaha kita juga berjaya dalam bidang yang kita ceburi.